Bantuan Warga Emas Semakin Diperlukan: Ini Cara Mohon Bantuan

Menurut definisi ‘World Assembly On Aging 1982’ di Vienna, perkataan warga emas membawa maksud mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Juga telah ditakrifkan bahawa warga emas di Malaysia adalah ketika seseorang mencapai usia persaraan 55 tahun atau pilihan persaraan pada usia 56 tahun.

Selain itu, warga emas juga ditakrifkan melalui had umur yang tertentu berdasarkan budaya masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendefinisikan warga emas sebagai individu yang berumur 60 tahun ke atas sesuai dengan resolusi Persidangan Antarabangsa untuk Warga Emas di Vienna pada tahun 1982.

Had umur ini telah digunakan sebagai rujukan kepada had umur warga emas dalam polisi dan dasar untuk kesejahteraan warga emas di Malaysia. Dengan ekonomi negara kini, Bantuan warga emas semakin diperlukan untuk menampung kos sara hidup mereka yang berkeluarga mahupun individu.

Pengaruh Bantuan Warga Emas – Jenis Penuaan Warga Emas

Sebelum melihat kepada bantuan warga emas yang diperlukan, jom kenal pasti kategori penuaan warga emas untuk melihat dengan jelas kesukaran yang mereka alami. Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, terdapat beberapa jenis penuaan bagi warga emas yang mempengaruhi kehidupan mereka.

Penuaan Sihat

Penuaan yang sihat merujuk kepada usaha menuju gaya hidup sihat dan membentuk sistem kesihatan yang lebih baik. Di samping itu, penuaan sihat juga dapat mewujudkan persekitaran dan komuniti yang lebih baik yang mengutamakan kesihatan.

Penuaan Positif

Penuaan positif pula merujuk kepada pegangan kepercayaan dan nilai positif yang menjadi tulang belakang kehidupan dan identiti warga emas sebagai panduan dalam kehidupan. Ia merupakan sikap dan pandangan positif terhadap identiti penuaan tersebut.

Penuaan Aktif

Penuaan aktif merujuk kepada proses mengoptimumkan peluang dan penglibatan warga emas dalam keluarga dan masyarakat ke arah memperkasakan warganegara emas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Aspek-aspek ini biasanya merangkumi kuantiti, kualiti dan skop rangkaian sosial yang berperanan sebagai hubungan antara generasi yang wujud sepanjang hayat.

Penuaan Produktif

Penuaan produktif pula dikaitkan dengan kemampuan penglibatan warga emas tersebut dalam memberi sumbangan. Sumbangan tersebut biasanya dalam bentuk aktiviti pekerjaan bergaji ataupun secara sukarela yang dapat memberi makna dan kepuasan dalam hidup mereka.

Penuaan Menyokong

Penuaan menyokong pula merujuk kepada persekitaran dalaman dan luaran yang mesra warga emas untuk membolehkan warga emas berfungsi dengan baik. Persekitaran ini dapat membantu mengurangkan ketidakstabilan hidup yang dialami oleh sesetengah individu.

Sekaligus ia akan mendorong penglibatan warga emas dalam masyarakat. Aspek ini juga mengambil pertimbangan akan penggunaan teknologi untuk menolong warga emas hidup berdikari.

Inisiatif Bantuan Warga Emas

Kini, banyak bantuan warga emas telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi warga emas di negara kita. Sebenarnya, semakin banyak inisiatif yagn telah dibuat untuk membantu warga tua. Memandangkan bantuan warga emas semakin diperlukan, mari kami kongsikan bantuan warga emas yang boleh disertai.

Dengan bantuan yang disumbangkan kepada warga emas, secara tidak langsung ia akan dapat membantu meringankan beban warga emas tersebut. Terutamanya bagi warga emas yang kurang berkemampuan atau tinggal sebatang kara.

Dengan bantuan yang disalurkan, semoga ia dapat membantu warga emas untuk terus menjalankan kehidupan seharian mereka, terutama mereka yang telah kehilangan kudrat, tiada pekerjaan dan sudah uzur.

Cara Memohon Bantuan Warga Emas Daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat

Pada pembentangan belanjawan 2021 tahun lalu, telah tercetusnya satu berita baik buat sesetengah warga emas. Mana tidaknya, dalam Belanjawan 2021 tersebut, Menteri Kewangan Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan bahawa bantuan untuk warga emas atau bantuan untuk Kebajikan Warga Emas akan dinaikkan lagi.

Dari jumlah bantuan kewangan RM 350 yang diberikan sebelumnya oleh pihak Kerajaan, ia akan dinaikkan jumlahnya. Ini bermaksud pada tahun 2021, warga emas yang layak dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM 500 bagi setiap seorang.

Langkah Permohonan Bantuan Warga Emas Dari Jabatan Kebajikan Masyarakat

Bantuan warga emas ini merupakan inisiatif yang sangat ditunggu-tunggu bagi sesetengah warga emas yang benar-benar memerlukan. Namun, bagaimanakah cara untuk warga emas memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ini? Mari kami kongsikan bagaimana cara memohon bantuan tersebut.

Anda boleh membantu warga emas yang anda kenali untuk memohon bantuan warga emas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat ini. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda lakukan.

  1. Layari laman sesawang rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia di https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php dan tekan pada ruangan eBantuan JKM.
  2. Kemudian, tekan pada butang Daftar Permohonan.
  3. Selepas itu, masukkan alamat rumah dan nombor kad pengenalan anda. Apabila selesai, tekan pada butang Daftar.

Dalam masa 14 hari, anda dikehendaki ke mana-mana cawangan Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terdekat dan membawa segala dokumen yang diperlukan untuk proses pengesahan kelulusan permohonan tersebut.

Dokumen Yang Diperlukan

Bagi memohon bantuan warga emas ini, terdapat beberapa dokumen penting yang perlu dibawa ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat. Penting untuk anda membantu warga tua yang ingin memohon dalam melengkapkan dokumen yang diperlukan ini. Pastikan dokumen tersebut lengkap. Keperluan dokumen ini adalah untuk memudahkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memproses permohonan dan memeriksa kelayakan pemohon.

Antara dokumen yang diperlukan adalah:

  • Salinan kad pengenalan pemohon.
  • Salinan kad pengenalan suami / isteri / ibu / bapa / anak yang tinggal bersama.
  • Salinan surat beranak anak / ahli keluarga yang tinggal bersama
  • Salinan penyata gaji (sekiranya ada)
  • Segala dokumen lain yang berkaitan dengan permohonan tersebut.

Syarat Kelayakan Permohonan Bantuan Warga Emas

Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mereka yang ingin memohon bantuan warga emas ini. Syarat-syarat tersebut sangat penting sehinggakan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan menerima bantuan warga emas ini.

Antara syarat-syaratnya adalah:

  • Pemohon mestilah warganegara dan penduduk Malaysia.
  • Warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.
  • Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.
  • Warga emas yang tidak tinggal di:

i) Institusi yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat

ii) Pusat jagaan harian / pusat kediaman yang menyediakan kemudahan / perkhidmatan secara percuma dan sebagainya.

  • Sebarang kes berkeperluan yang layak akan dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

Dengan menepati syarat dan menyediakan borang serta dokumen yang diperlukan, pasti mudah untuk anda menerima bantuan warga emas ini. Bantuan warga emas semakin diperlukan, jangan sia-siakan peluang bantuan warga emas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat ini ya!

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Waktu Terbaik Untuk Solat Dhuha (Kemaskini 2021)

Next Post

Nak Jadi Polis? Ketahui e-Pengambilan PDRM 2021