Tolak dekriminalisasi penggunaan dadah

SAYA merujuk kepada cadangan YB Menteri Kesihatan untuk menjadikan pemilikan dan penggunaan dadah bukan satu kesalahan jenayah.

Menurut Menteri Kesihatan, dekriminalisasi (menyah-jenyah) adalah penghapusan hukuman jenayah ke atas mereka yang memiliki dan menggunakan dadah dalam kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi, berbanding mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah. Ia juga bukan cubaan untuk melegalisasikan pengedaran dadah.

Secara prinsip, saya bersetuju bahawa pengedaran dadah adalah satu jenayah besar. Pengedaran dadah hanya akan berlaku jika terdapat permintaan daripada penagih dadah. Ia merupakan kitaran yang berterusan antara penawaran dan permintaan. Sekiranya penagih sangat bergantung kepada dadah, maka mereka akan cuba dengan apa cara sekalipun untuk mendapatkan dadah.

Persoalan utama untuk dijawab ialah apakah motif pemilikan dan penggunaan dadah? Adakah untuk tujuan perubatan atau kerana satu ‘habitual dependency’ sehingga menyebabkan ketagihan? Ketagihan dadah akan merubah fungsi otak sehingga ia diklasifikasikan sebagai satu penyakit (addiction is an illness psychological and biochemical).

Dalam Islam, perkara yang boleh merosakkan akal perlu dicegah atau ditolak. Ketagihan dadah boleh merosakkan akal dan imunisasi tubuh. Oleh itu, saya berpendapat dadah perlu diharamkan dan terus dijadikan sebagai satu jenayah. Memberikan peluang untuk mereka memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil tetap akan menyebabkan ketagihan.

Isu yang perlu difokuskan ialah bagaimana kaedah untuk merawat penagih dadah. Adakah dengan terus memberikan dadah untuk kegunaan peribadi atau menjauhkan mereka daripada najis dadah? Saya berpendapat penagih-penagih dadah perlu dirawat sama ada dengan kaedah sains atau tradisional. Halang penagih baharu, pulih penagih tegar. Kementerian perlu mencari solusi supaya mereka tidak berterusan bergantung kepada najis dadah.

Adakah langkah kementerian ini cerminan kepada kegagalan usaha pembasmian najis dadah? Jika benar, ia satu bencana besar bagi negara dan generasi akan datang. Satu usaha bersepadu perlu dilakukan untuk memulihkan sistem sosial dan  menjadikan Islam sebagai teras pembinaan masyarakat. Gaya hidup bebas dengan menjamu hawa nafsu akan mengundang mudarat yang besar.

Malaysia mesti komited untuk menghapuskan najis dadah dengan memburu rangkaian pengedaran dadah secara besar-besaran. Pada masa yang sama, mereka yang telah terjebak dengan najis dadah perlu dipulihkan dengan kaedah yang betul. Kembalikan mereka kepada gaya hidup yang sihat. Memberikan pemilikan dan penggunaan dadah kepada penagih tidak akan menyelesaikan masalah akar najis dadah.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian
21 Zulkaedah 1440 | 24 Julai 2019

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mengapa kalau Islam tidak boleh?

Next Post

Kuala Koh: Hentikan burukkan Kelantan

Related Posts

Akibat pisahkan politik daripada agama

Peringatan Allah SWT di dalam Al-Quran: الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا kالصَّلَاةَ  وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا…
Read More