Waktu Terbaik Untuk Solat Dhuha (Kemaskini 2021)

Dalam Islam, selain kewajipan solat fardhu lima waktu yang kita kerjakan hari-hari, amalan menambah pahala yang boleh dilakukan pula adalah solat sunat. Tak buat, tak berdosa. Tetapi kalau buat, dapat pahala.

Antara solat sunat yang dilakukan pada pagi hari dengan niat untuk bersyukur kepada Allah SWT dan menarik lebih banyak rezeki adalah solat sunat dhuha. Walaupun ramai yang tahu solat dhuha boleh dilaksanakan pada waktu pagi, tetapi menjadi tanda tanya akan apakah waktu sebenar untuk solat dhuha.

Mari kami kongsikan mengenai waktu terbaik untuk solat dhuha.

Solat Dhuha, Solat Al-Awwabin

Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut oleh setiap umat Islam. Ia sering dikenali dengan solat sunat yang sering disebut sebagai ‘amalan pembuka rezeki’ dan mempunyai pelbagai kelebihan. Selain itu, solat dhuha juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin.

Waktu Terbaik Untuk Solat Dhuha

Waktu Solat Sunat Dhuha dikatakan bermula terbitnya matahari (selepas waktu syuruk) dan sehingga sebelum tergelincirnya kedudukan matahari pada waktu tengah hari. Waktu terbaik untuk Solat Sunat Dhuha adalah apabila keadaan pasir menjadi panas disebabkan oleh cahaya matahari yang sudah mulai terpancar terik.

Terdapat sebuah hadis yang membawa maksud:

Solat Awwabin adalah merupakan solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana terkena pancaran sinar matahari yang sudah terik).

Waktu Terbaik Solat Dhuha: Takwim Waktu Solat

Boleh dikatakan waktu terbaik untuk solat dhuha adalah apabila waktu matahari sedang naik dan terik. Jika sukar lihat pada keadaan cuaca, kita boleh merujuk pada takwim waktu solat dan tempoh masa. Ia adalah 28 minit selepas waktu syuruk. Sebagai contoh, waktu syuruk adalah 7.32 pagi, maka masuknya dhuha adalah pada waktu 8 pagi (setelah ditambah 28 minit).

Waktu Terbaik Solat Dhuha: Waktu Paling Afdal

Waktu pagi apabila matahari telah naik tinggi kira-kira (7 hasta atau 3 meter), ia adalah waktu yang paling afdal untuk melakukan solat sunat dhuha. Selalunya waktu solat dhuha dalam tempoh waktu tersebut adalah pada jam 9.30 dan ke atas. Lebih mudah mengenali adalah bilamana cuaca pagi makin panas.

Zaid bin Arqam r.a. berkata: “Nabi SAW keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Dhuha. Baginda bersabda; “Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.” (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi).

Bilangan Rakaat Bagi Solat Dhuha

Solat Dhuha boleh dilakukan dengan dua rakaat yang paling sedikit. Ada juga yang melakukannya sebanyak empat, enam, lapan sehinggalah 12 rakaat yang paling banyak. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jumlah rakaat solat dhuha paling afdhal adalah sebanyak 8 rakaat.

Berdasarkan daripada satu hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ bin Abi Thalib R.A. berkata:

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. mengerjakan solat sunat dhuha pada hari Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda akan memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.

Hadis Riwayat Abu Daud

Imam Al-Nawawi pula mengatakan bahawa para ashab dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan ‘istihbab’ yang bermaksud galakan, untuk melakukan Solat Sunat Dhuha sebanyak lapan rakaat.

Cara Solat Dhuha Dan Doa Solat Dhuha

Lafaz Niat

أُصَلِّي سُنَّةَ الضُّحَي رَكْعَتَين ِللهِ تَعَاليَ

(Usollii sunnatadh-dhuhaa rak’ataini lillaahi ta’aalaa.)

Maksudnya : “Sahaja aku Solat Sunat Dhuha dua rakaat, kerana Allah Taala.”

Membaca Surah Al-Fatihah

Setelah takbiratul ihram, anda perlu terus membaca surah al-Fatihah seperti dalam solat biasa.

Membaca Surah Pendek

Secara mudahnya, kita boleh membaca mana-mana surah yang dihafal dalam semua solat sunat. Namun antara surah-surah yang digalakkan oleh kalangan para ulama dalam solat dhuha adalah seperti berikut:

  • Ayat Kursi untuk Rakaat Pertama dan Surah Al-Ikhlas untuk Rakaat Kedua.
  • Surah As-Syams untuk Rakaat Pertama dan Surah Ad-Dhuha untuk Rakaat Kedua.
  • Surah Al-lail untuk Rakaat Pertama dan Surah Al-Insyirah untuk Rakaat Kedua.

Kemudian, solat akan diteruskan seperti biasa sehinggalah cukup 2 rakaat.

Bacaan Semasa Sujud Akhir

Pada sujud akhir sebelum tahiyat akhir, anda boleh amalkan bacaan zikir seperti berikut:

Zikir Dan Doa Dhuha

Akhir sekali, beri salam dan lengkapkan jumlah rakaat yang anda inginkan. Kemudian, ucapkanlah istighfar sebanyak mungkin. Menurut hadis sahih dari Aisyah R.A., yang diriwayatkan, Baginda mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W akan membaca doa Dhuha atau mengucapkan doa ini sebanyak 100 kali apabila selesai solat Dhuha.

Doa Dhuha 1

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ، وَتُبْ عَلَيَّ ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ

“Allahummagh fir lii wa tub ‘alayya, innaka antat tawwabur rahiim”

Maksudnya: Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

(Hadis Riwayat Bukhari)

Doa Dhuha 2

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan bacaan doa dhuha ini:

اَللهُمَّ اِنَّ الضُّحَآءَ ضُحَاءُكَ ،

وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ ،

وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ ،

وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ ،

وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ.

اَللهُمَّ اِنْ كَانَ رِزْقَى فِى السَّمَآءِ فَأَنْزِلْهُ

وَاِنْ كَانَ فِى اْلاَرْضِ فَأَخْرِجْهُ

وَاِنْ كَانَ مُعَسَّرًا فَيَسِّرْهُ

وَاِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ

وَاِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ

بِحَقِّ ضُحَاءِكَ وَبَهَاءِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ

آتِنِىْ مَآاَتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya:

Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,

kecantikan adalah kecantikanMu,

keindahan itu keindahanMu,

kekuatan itu kekuatanMu,

kekuasaan itu kekuasaanMu

dan perlindungan itu perlindunganMu.

Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah

jika di dalam bumi, keluarkanlah,

jika sukar, permudahlah, jika haram, sucikanlah

jika jauh, dekatkanlah.

Berkat waktu dhuha, kecantikan,

keindahan, kekuatan, kekuatan, kekuasaanMu,

Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Kelebihan Solat Sunat Dhuha Mengikut Hadis Sahih

 

Diwasiatkan oleh Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah R.A. agar tidak meninggalkan solat Dhuha:

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى ، وَأَنََن

Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) akan mengingatkan akan melakukan tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menyamai Sedekah Terhadap 360 Sendi

Antara kelebihan solat Dhuha adalah ia sangat mudah iaitu dua rakaat paling minimum. Dua rakaat Solat Dhuha itu juga adalah seolah-olah nilainya kita telah melakukan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Abi Zar R.A., bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة, فكل تسبيحة صدقة, وكل تحميدة صدقة, وكل تهليلة صدقة, وكل تكبيرة صدقة, وأمر بالمعروف صدقة, ونهي عن المنكر صدقة, ويجزئ من ذلك ركعتان يركعهما من الضحى

Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh perkara yang baik adalah sedekah, melarang perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu menggunakan solat Dhuha. ”

(Hadis Riwayat Muslim)

Diberikan Kecukupan

Daripada Nu’aim bin Hammar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, firman Allah S.W.T. :

يَا ابْنَ آدَمَ ، لَا تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ ، أَكْفِكَ آخِرَهُ

Maksudnya : “Wahai anak Adam! Janganlah kamu tinggalkan untukku 4 rakaat pada awal siangmu. Nescaya aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu. “

(Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

Marilah sama-sama kita mengamalkan solat dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita. Semoga kita sama-sama dapat merebut kelebihan yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. dan terpelihara daripada perkara-perkara yang tidak baik.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

APDM, eGTukar, eSPBT, eOperasi Penting Untuk Guru Semasa PdPR

Next Post

Bantuan Warga Emas Semakin Diperlukan: Ini Cara Mohon Bantuan